Aku dan Islam Anak-Anak Mualaf

Cabuk: Apabila cuba menduga, maka ini jadinya..apabila kaduk naik junjung, maka ini akibatnya..apabila menyalah guna kompromi yang ada, menganggap seolah-olah kita tunduk padanya…mujur hidup ketika Islam zaman ini, andai hidup ketika Islam pada kegemilangannya, mahu aku berfikir apa akan jadi kepada si kaduk-kaduk ini..

 

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA BERKENAAN PENGISLAMAN ANAK-ANAK MUALAF DI BAWAH UMUR

20 Jun 2013 bersamaan 11 Shaaban 1434

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) ingin menarik perhatian masyarakat umum tentang isu pengislaman anak-anak seseorang ibu atau bapa yang telah memeluk agama Islam (mualaf) yang sekali lagi di ambil kesempatan beberapa pihak tertentu, khususnya Majlis Peguam Malaysia yang seolah-olah memberikan gambaran bahawa pengislaman sebelah pihak (unilateral conversion) telah berlaku dan oleh yang demikian melanggar beberapa aspek kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 12 (3) dan 12 (4).

Untuk menjawab beberapa perkara yang telah diutarakan pihak Majlis Peguam, PPMM ingin menyentuh tiga perkara khusus:

Pertamanya, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi di Negara ini telahpun membuat keputusan mengenai definisi ‘parent” di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menentukan hak seseorang ibu atau bapa yang telah memeluk Islam dan mengislamkan anak-anak beliau yang di bawah umur. Hal ini diputuskan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray & Lain (2008) yang telah bersetuju atau mengesahkan keputusan kes terdahulu Nedunchelian V Uthiradam lawan Nurshafiwah Mah Singai Annal & Lain (2005) bahawa definisi istilah ‘parent’ adalah cukup bermaksud dengan salah seorang iaitu ibu atau bapa. Oleh yang demikian di dalam kes Subashini, pengislaman anak-anak di bawah umur 18 tahun oleh bapa yang Muslim diktiraf Mahkamah Persekutuan sebagai betul dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan tentang Islam atau bukan Islamnya seseorang bila telah nyata dan sahnya pendaftaran mualaf hanya boleh d putuskan oleh Mahkamah Syariah. Justeru Mahkamah Sivil, hatta Mufti, Majlis Agama Negeri-negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mempunyai sebarang bidangkuasa untuk menukar, meminda status Islam seorang dgn apa-apa perubahan. Kedudukan undang-undang ini telah dijelaskan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu kes Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2006).

Kedua, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009, Dato’ Seri Mohamaed Nazri Aziz bahawa anak-anak pasangan suami isteri sepatutnya kekal di dalam agama asal pasangan tersebut semasa perkahwinan mereka bukanlah suatu kedudukan yang sah mengikut Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang cuba digambarkan Majlis Peguam. Pada hakikatnya, jemaah menteri tiada Kuasa untuk mengarahkan mana-mana Mahkamah untuk meminda, mematuhi arahan atau membatalkan sebarang undang-undang. Undang-undang yang sah hanya ditafsirkan Mahkamah mengikut falsafah, matan dan kehendak perundangan yang di gubal di Parliamen bagi undang-undang Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi maksud Enakmen-enakmen Negeri.

Kebebasan kehakiman adalah asas yang sangat penting di dalam sistem demokrasi Malaysia. Adalah jelas bahawa cabang Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman mempunyai peranan masing-masing yang jelas dan tidak boleh mencampuri urusan yang lain.

Justeru, arahan Kabinet 2009 sepertimana yang didakwa Majlis Peguam, tidak mempunyai sebarang nilai dan tidak boleh meminda apa yang telah diputuskan Mahkamah. Mahkamah tidak terikat oleh arahan tersebut di dalam penafsiran undang-undang-undang lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara telah diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagaimana di dalam kes Subashini. Selagi undang-undang tersebut tidak di pinda atau di batalkan maka undang-undang berkaitan dan keputusan Mahkamah pada masa tersebut adalah diterima pakai.

Pada hemat PPMM, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) telah sekali lagi bertindak membelakangkan undang-undang yang sah apabila menganggap keputusan kabinet pada 2009 hanya janji kosong kerana hanya mahu meredakan kes yang berlaku, bahkan ia tidak memberi keadilan kepada ibu atau bapa bukan Islam. Umum mengetahui bahawa MCCBCHST juga menganggotai Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) namun begitu mereka telah membuat tindakan untuk mencabar hak-hak Muslim apabila memilih untuk menyebarkan pandangan yang salah berhubung isu ini di ruang media dan tidak melakukan yang terbaik untuk merujuk wakil-wakil Islam yang berautoriti di dalam jawatankuasa tersebut bagi mendapatkan penjelasan dan menjernihkan prejudis dan stereotaip mereka mengenai Islam di Negara ini.

Perlu ditegaskan bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam;

2. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam;

3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Adalah jelas bahawa keputusan di atas telah disandarkan apda asas hujahan yang kukuh dan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana termaktub pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Semua pihak termasuk Jemaah Menteri, Majlis Peguam dan MCCBCSHT perlu akur dengan hakikat ini dan tidak boleh mencari ruang untuk memanipulasi kedudukan ini atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Seringkali di dalam kes di mana seorang suami memeluk Islam, mualaf ini ditohmah mahu melarikan diri dari tanggungjawab sivilnya. Namun pada hakikatnya mualaf tersebut telah mendapat hidayah dari Allah SWT dan mahu mengamalkan hak beragamanya sebagaimana yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan. Jurisprdens Islam tidak menghapuskan tanggungjawab suami atau bapa Islam terhadap isteri dan anak-anaknya walaupun berlainan agama mengikut kaedah yang ditentukan Islam. Malah tersdapat juga kes dimana isu pemelukan Islam ini dikontroversi pihak tertentu namun akhirnya isteri yang tidak memeluk Islam itu dengan sukarela telah memeluk agama suci ini. Oleh yang demikian PPMM mengingatkan semua pihak jangan cuba membuat kontroversi isu sebegini, hal ini haruslah diselesaikan oleh kedua belah pihak secara berhemah.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia. (FB Zainul Rijal)

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: