Archive for the ‘ Pengumuman ’ Category

Aku dan Jurugambar Utusan Kena Pukul

 photo 3

Ahli keluarga wanita dihukum gantung belasah jurugambar Utusan

 

KOTA BHARU – Seorang jurugambar Utusan Malaysia cedera dipukul dua lelaki dipercayai ahli keluarga seorang wanita yang dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 10.45 pagi ini, jurugambar terbabit sedang mengambil gambar tertuduh namun dua suspek berkenaan bertindak menyerangnya.

Kamera mangsa turut pecah dihempas oleh salah seorang suspek.

Terdahulu seorang tukang jahit wanita dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 54.72 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Zaruna Yusof, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Zaruna didakwa mengedar heroin seberat 54.72 gram di tempat letak kereta Stadium Sultan Muhammad IV, Jalan Bayam, di sini pada pukul 1.35 petang , 21 Januari 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

 

photo 4

 

iwan

Kenyataan media Kemudi mengenai insiden jurugambar Utusan Malaysia dipukul.

Kemudi merasa amat kesal dengan insiden  jurugambar Utusan Malaysia, Irwan Majid dipukul sehingga mencederakannya dan merosakkan kamera yang digunakannya untuk menjalankan tugas.

Sebagai pengamal media, jurugambar terbabit hanya menjalankan tugas hariannya dan pihak tertentu terutama keluarga yang dituduh tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Masyarakat seharusnya memahami tugas yang terpaksa dijalankan oleh wartawan dan jurugambar.

Kemudi berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan yg terperinci mengenai kejadian ini agar ia dijadikan pengajaran dan peristiwa seperti ini tidak berulang lagi.

Pada masa yang sama, Kemudi berharap pengamal media menjaga keselamatan diri semasa menjalankan tugas terutama di kawasan yang berisiko.

Azran fitri rahim
Presiden Kemudi

 

Cabuk:   Kuat aku rasa orang-orang di luar sana cukup seronok apabila berlaku kejadian seperti ini. Dek kerana fikiran kolot dan skeptikal yang sudah tertanam dalam kepala otak masing-masing bahawa orang media lebih-lebih lagi Utusan Malaysia adalah tali barut kerajaan..maka layak sangat dipukul..

Mudah sangat kalian jatuh hukum, lebih daripada Hakim di mahkamah, lebih daripada mufti yang buat fatwa, lebih daripada sang penguasa merencana undang-undang..

Aku tak rasa perlu untuk menegakkan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh..tak perlu pula aku menegakkan benang yang didakwa sudah basah…

Ada otak, ada akal, ada ilmu, maka nilai sendiri

Kami hanya menjalankan tugas..kami hormat kalian, maka kamu perlu hormat kami..

Aku dan Perangai Heboh Melawat Orang Sakit Bawa Anak Kecil

Image

 

 

Sangat tertarik membaca artikel ini Bahaya Badi Melawat Pesakit bagi anak kecil 

Rasanya pernah perasan rakan-rakan berkongsi artikel berkaitan di Facebook lama dahulu, cuma tak berkesempatan nak tepek di blog cabuk ini..

Pembacaan yang bermanfaat, ilmu yang jarang-jarang sekali diketahui mahupun diambil kisah oleh masyarakat umum..kalau bab lain, laju pula berbondon-bondon heboh nak shared, mana hujung pangkal betul atau tidak, main langgar saja..

Selain subjek yang tertera pada tajuk entry blog tersebut, aku juga tertarik dengan adab melawat pesakit yang secara halus diperjelaskan mengikut lunas-lunas agama..andai hadis itu benar dan sahih, maka bertepatan dengan situasi yang selalu berlaku di hadapan mata..kadang-kadang, aku sendiri langgar tanpa sedar..

Memendekkan masa duduk, mengurangkan bising ketika menziarah pesakit 

Bab ini, bersama-sama kita sedar…

Aku dan Aidilfitri 2013

2012

 

 

qhasaf

 

Tahun ini, sambutan Aidilfitri buat keluarga aku bertambah meriah dengan kedatangan seorang lagi cahaya mata, Daniyal Qhashaf..bertambah seronok, bertambah meriah, riuh-rendah pasti menjadi warna-warni kehidupan keluarga aku..kepada semua kaum keluarga, mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan, kesilapan dan kekurangan selama ini yang berlaku tanpa sedar…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RAYA STAFF

 

Bertitik tolak tahun ini ketika pilihan raya, team berskala kecil ini ditubuhkan..rakan-rakan seperjuangan yang berada atas bumi yang dipijak sama, maaf aku pohon atas segala pemikiran, perjuangan, tindakan yang tidak selari..aku akan terus menghormati kalian..Kepada yang menyokong, terima kasih.. (Kosmo! Online FB, Kosmo! Online, Kosmo! Online Twitter)

 

 

RAYA STAFF

 

Selamat menyambut kemenangan yang paling bermakna ini..lebaran mulia penuh makna..anugerah Aidilfitri yang pasti dicemburui mana-mana umat manusia yang lain…

Kepada semua pemandu di jalan raya, udara dan laut, berhati-hati di lapangan masing-masing..jangan jadikan lapangan anda sebagai pentas maut..

Mengharapkan Ramadan akan bertemu lagi pada tahun hadapan..aku rindu nak jadi baik sepanjang bulan..dan berganjak jadi baik sepanjang masa..Amin..

Aku dan 13 Julai 2007 – 13 Julai 2013

nikah

 

 

Tarikh ini, enam tahun lalu, selepas Asar, di Surau Penjara Kajang, aku bergelar suami yang sah dari segi hukum syarie dan undang-undang syariah Malaysia kepada Norhayati Kamaruddin…

 

nikah4

 

dan ikatan sah itu kekal sehingga sekarang….kepada Allah, kesyukuran aku panjatkan kerana berkat dan hikmah dikurniakan dalam hubungan ini..

 

nikah2

 

 

dan Alhamdulillah, dua cahaya mata setakat ini dikurniakan..Dania Qistin dan Damia Qismina..

 

nikah5

 

dan bakal menerima seorang lagi, tidak lama lagi..sabar menunggu..

Moga berkekalan hingga hujung nyawa…Amin

Aku dan Sani United III

Cabuk: Setakat empat dakwaan yang sudah berjalan, ini merupakan kemenangan kedua yang diperolehi. Syukur, Tuhan Maha Adil..yang berhak itu jelas, yang batil itu juga kelihatan..undang-undang aku kira menyebelahi pihak yang benar selagi mana ia bersandarkan fakta..emosi hanya mengaburkan pandangan, mengusutkan pertimbangan..aku percaya ada yang membaca, perkiraan juga sedang dibuat..

Aku mahu lihat babak yang seterusnya..skrip yang sama, watak yang sama, cuma dialog sedikit berbeza..

Saman Utusan: Syarikat Bas Sani United Gagal Lagi
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — Syarikat bas ekspres Sani United Berhad Rabu sekali lagi gagal dalam tuntutan saman fitnah terhadap syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak saman yang difailkan terhadap syarikat akhbar itu, Editor Kosmo dan dua wartawan Kosmo! Luqman Hakim Ab Rahim dan Kumara Sabapathy di dalam kamar dengan dihadiri peguam Azhar Arman Ali yang mewakili kesemua defendan dan peguam Khairun Niza Husnin bagi pihak syarikat Sani United.

Saman itu berkaitan penyiaran artikel bertarikh 6 Jan 2010 mengenai kemalangan membabitkan bas milik syarikat itu pada 26 Dis 2009.

Pada 18 Jun lepas, mahkamah menolak saman fitnah berkaitan artikel yang sama yang difailkan Sani United terhadap Utusan dan Editor Kosmo! dengan kos RM25,000.

Sementara itu, Azhar memberitahu pemberita bahawa Hakim Hue menolak saman itu setelah mendapati bahawa tiada elemen berniat jahat dan artikel itu melaporkan apa yang benar sepertimana diberitahu oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), yang membatalkan permit bas tersebut.

Syarikat itu memfailkan saman pada 21 Mei tahun lepas dengan mendakwa akhbar Kosmo! menerbitkan artikel palsu berhubung pembatalan permit sebuah bas ekspres milik Sani United.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat bas itu mendakwa artikel bertarikh 6 Jan 2010 itu diterbitkan susulan keputusan mesyuarat LPKP yang membatalkan permit bas itu selepas berlaku kemalangan.

Dakwanya, kandungan artikel bertajuk ‘Sani United kena hukuman berat ekoran nahas ragut 10 nyawa’ juga adalah tidak tepat dan tidak benar, seolah-olah pembekuan permit melibatkan kesemua permit bas ekspres, sedangkan hanya satu permit bas Sani Express dibatalkan.

Penyataan pembelaan kedua-dua defendan pula mendakwa artikel itu adalah benar serta diterbitkan demi kepentingan awam, dan bukan bertujuan memalukan atau menjatuhkan reputasi syarikat itu selain disiar selepas pengumuman oleh LPKP.

Sepanjang perbicaraan kes, empat saksi termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Sani United iaitu Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, memberi keterangan. – BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=960760

Aku dan Islam Anak-Anak Mualaf

Cabuk: Apabila cuba menduga, maka ini jadinya..apabila kaduk naik junjung, maka ini akibatnya..apabila menyalah guna kompromi yang ada, menganggap seolah-olah kita tunduk padanya…mujur hidup ketika Islam zaman ini, andai hidup ketika Islam pada kegemilangannya, mahu aku berfikir apa akan jadi kepada si kaduk-kaduk ini..

 

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA BERKENAAN PENGISLAMAN ANAK-ANAK MUALAF DI BAWAH UMUR

20 Jun 2013 bersamaan 11 Shaaban 1434

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) ingin menarik perhatian masyarakat umum tentang isu pengislaman anak-anak seseorang ibu atau bapa yang telah memeluk agama Islam (mualaf) yang sekali lagi di ambil kesempatan beberapa pihak tertentu, khususnya Majlis Peguam Malaysia yang seolah-olah memberikan gambaran bahawa pengislaman sebelah pihak (unilateral conversion) telah berlaku dan oleh yang demikian melanggar beberapa aspek kebebasan beragama di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 12 (3) dan 12 (4).

Untuk menjawab beberapa perkara yang telah diutarakan pihak Majlis Peguam, PPMM ingin menyentuh tiga perkara khusus:

Pertamanya, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi di Negara ini telahpun membuat keputusan mengenai definisi ‘parent” di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menentukan hak seseorang ibu atau bapa yang telah memeluk Islam dan mengislamkan anak-anak beliau yang di bawah umur. Hal ini diputuskan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray & Lain (2008) yang telah bersetuju atau mengesahkan keputusan kes terdahulu Nedunchelian V Uthiradam lawan Nurshafiwah Mah Singai Annal & Lain (2005) bahawa definisi istilah ‘parent’ adalah cukup bermaksud dengan salah seorang iaitu ibu atau bapa. Oleh yang demikian di dalam kes Subashini, pengislaman anak-anak di bawah umur 18 tahun oleh bapa yang Muslim diktiraf Mahkamah Persekutuan sebagai betul dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan tentang Islam atau bukan Islamnya seseorang bila telah nyata dan sahnya pendaftaran mualaf hanya boleh d putuskan oleh Mahkamah Syariah. Justeru Mahkamah Sivil, hatta Mufti, Majlis Agama Negeri-negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mempunyai sebarang bidangkuasa untuk menukar, meminda status Islam seorang dgn apa-apa perubahan. Kedudukan undang-undang ini telah dijelaskan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu kes Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2006).

Kedua, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009, Dato’ Seri Mohamaed Nazri Aziz bahawa anak-anak pasangan suami isteri sepatutnya kekal di dalam agama asal pasangan tersebut semasa perkahwinan mereka bukanlah suatu kedudukan yang sah mengikut Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang cuba digambarkan Majlis Peguam. Pada hakikatnya, jemaah menteri tiada Kuasa untuk mengarahkan mana-mana Mahkamah untuk meminda, mematuhi arahan atau membatalkan sebarang undang-undang. Undang-undang yang sah hanya ditafsirkan Mahkamah mengikut falsafah, matan dan kehendak perundangan yang di gubal di Parliamen bagi undang-undang Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi maksud Enakmen-enakmen Negeri.

Kebebasan kehakiman adalah asas yang sangat penting di dalam sistem demokrasi Malaysia. Adalah jelas bahawa cabang Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman mempunyai peranan masing-masing yang jelas dan tidak boleh mencampuri urusan yang lain.

Justeru, arahan Kabinet 2009 sepertimana yang didakwa Majlis Peguam, tidak mempunyai sebarang nilai dan tidak boleh meminda apa yang telah diputuskan Mahkamah. Mahkamah tidak terikat oleh arahan tersebut di dalam penafsiran undang-undang-undang lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara telah diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagaimana di dalam kes Subashini. Selagi undang-undang tersebut tidak di pinda atau di batalkan maka undang-undang berkaitan dan keputusan Mahkamah pada masa tersebut adalah diterima pakai.

Pada hemat PPMM, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) telah sekali lagi bertindak membelakangkan undang-undang yang sah apabila menganggap keputusan kabinet pada 2009 hanya janji kosong kerana hanya mahu meredakan kes yang berlaku, bahkan ia tidak memberi keadilan kepada ibu atau bapa bukan Islam. Umum mengetahui bahawa MCCBCHST juga menganggotai Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) namun begitu mereka telah membuat tindakan untuk mencabar hak-hak Muslim apabila memilih untuk menyebarkan pandangan yang salah berhubung isu ini di ruang media dan tidak melakukan yang terbaik untuk merujuk wakil-wakil Islam yang berautoriti di dalam jawatankuasa tersebut bagi mendapatkan penjelasan dan menjernihkan prejudis dan stereotaip mereka mengenai Islam di Negara ini.

Perlu ditegaskan bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam;

2. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam;

3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Adalah jelas bahawa keputusan di atas telah disandarkan apda asas hujahan yang kukuh dan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana termaktub pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Semua pihak termasuk Jemaah Menteri, Majlis Peguam dan MCCBCSHT perlu akur dengan hakikat ini dan tidak boleh mencari ruang untuk memanipulasi kedudukan ini atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Seringkali di dalam kes di mana seorang suami memeluk Islam, mualaf ini ditohmah mahu melarikan diri dari tanggungjawab sivilnya. Namun pada hakikatnya mualaf tersebut telah mendapat hidayah dari Allah SWT dan mahu mengamalkan hak beragamanya sebagaimana yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan. Jurisprdens Islam tidak menghapuskan tanggungjawab suami atau bapa Islam terhadap isteri dan anak-anaknya walaupun berlainan agama mengikut kaedah yang ditentukan Islam. Malah tersdapat juga kes dimana isu pemelukan Islam ini dikontroversi pihak tertentu namun akhirnya isteri yang tidak memeluk Islam itu dengan sukarela telah memeluk agama suci ini. Oleh yang demikian PPMM mengingatkan semua pihak jangan cuba membuat kontroversi isu sebegini, hal ini haruslah diselesaikan oleh kedua belah pihak secara berhemah.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia. (FB Zainul Rijal)

Aku dan Sani Ekspress II

Image

Image

Image

Rujukan

1) Bernama

2) The Sun Daily

3) Mstar

Artikel

Mahkamah Tolak Kes Saman Fitnah Syarikat Sani United Terhadap Utusan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah yang difail syarikat bas ekspres Sani United Sdn Bhd terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan editor akhbar Kosmo.

Hakim Lee Heng Cheong menolak permohonan itu dengan kos sebanyak RM25,000.

Syarikat itu memfailkan saman itu pada 21 Mei tahun lepas mendakwa Kosmo menerbitkan artikel palsu berhubung pembatalan permit sebuah bas ekspres milik Sani United.

Penyataan tuntutannya mendakwa artikel bertarikh 6 Januari 2010 itu diterbitkan susulan keputusan mesyuarat Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang membatalkan permit bas itu selepas berlaku kemalangan pada 26 Disember 2009.

Syarikat itu mendakwa bahasa dan kandungan artikel bertajuk ‘Hukuman untuk ajar syarikat bas ekspres’ adalah tidak tepat dan tidak benar, seolah-olah pembekuan permit melibatkan kesemua permit bas ekspres, sedangkan hanya satu permit bas Sani Express dibatalkan.

Sementara itu, bagi bas lain, urusan perlesenan seperti permohonan baharu, memperbaharui dan ubah syarat hanya dibekukan bagi tempoh setahun.

Penyataan pembelaan kedua-dua defendan pula mendakwa artikel itu adalah benar serta diterbitkan demi kepentingan awam, dan bukan bertujuan memalukan atau menjatuhkan reputasi syarikat itu selain disiar selepas pengumuman oleh LPKP.

Sepanjang perbicaraan kes itu, empat saksi termasuk Pengarah Urusan Sani United iaitu Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, memberi keterangan. – BERNAMA

 

Cabuk: Permulaan yang baik..kepada Tuhan dipanjatkan kesyukuran..Antara hak dan batil sudah jelas..mohon dipermudahkan untuk akan datang

Yang masih tidak jelas kenapa entry ini aku paparkan..boleh rujuk siri pertama, Aku dan Sani Ekspress