Aku dan Membedah minda golongan popularis agama

Oleh DR. ABU UZMA ABDUL RAHMAN

KEBELAKANGAN ini, muncul pelbagai pendapat dan fatwa tentang halal-haramnya sesuatu perkara dalam muamalat sesama manusia khususnya melibatkan isu-isu berkaitan dengan politik. Politik dan agama di Malaysia adalah suatu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dengan itu muncullah pelbagai cara untuk mentafsir isu-isu politik ini dengan menggunakan hukum-hakam Islam.

Kemunculan sekelompok agamawan yang menggunakan slogan tajdid ataupun pembaharuan untuk menangani perkara ini perlu diberi perhatian oleh masyarakat. Golongan ini menganggap mereka ialah pewaris kepada gerakan tajdid yang pernah dibawa oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Syed Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Al-Asha’ari dan lain-lain pada awal kurun ke-20.

Kedudukan mereka diperkuatkan lagi atas faktor mempunyai kelulusan PhD dalam bidang agama serta ditambah pula jawatan yang pernah disandang di institusi agama selain faktor semula jadi mereka yang petah bercakap dan menulis. Ini menyebabkan mereka senang mendapat sokongan terutamanya golongan intelektual dan kalangan pihak yang cuba mencari penyelesaian secara rasional dalam agama.

Pengambilan Hukum Agama

Secara asasnya golongan ini mengaku mengambil hukum langsung dari al-Quran dan sunnah serta mengikut metodologi yang digariskan oleh salafussoleh. Ini dapat dilihat daripada cara mereka menangani isu dan menjawab persoalan dalam perkara akidah, ibadah dan sirah Nabi dan para sahabat.

Mereka tidak segan untuk merujuk dan menggunakan fatwa dan pendapat ulama-ulama seperti Syeikh Bin Baz (bekas Mufti Arab Saudi), Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Salih Al Fauzan dan Syeikh Ibn Uthaymin jika bersesuaian dengan kehendak peribadi dan khalayak yang mengajukan persoalan kepada mereka.

Namun, mereka ini mempunyai perbezaan besar dari segi disiplin pengambilan ilmu dan menerbitkan hukum jika dibandingkan dengan golongan tradisionalis agama. Sekurang-kurangnya, golongan tradisional bersumberkan kepada tradisi dan kebiasaan setempat dalam beragama serta merujuk kitab-kitab kuning tuan-tuan guru zaman berzaman.

Tetapi, golongan ini tidak segan untuk melemahkan sumber agama yang sahih serta pendapat yang kuat jika sumber ini menyalahi kepentingan dan kehendak mereka. Tidak dinafikan, mungkin ini berpunca daripada latar belakang keilmuan sebahagian mereka yang bukan dari jurusan Usuluddin dalam ijazah pertama.

Hal ini memungkinkan mereka memandang ringan kepentingan menerbitkan hukum agama daripada sumber sahih, pendapat dan fatwa guru-guru yang berautoriti dalam aliran pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Barat membina tamadunnya melalui kaedah saintifik dan metodologi yang tersusun. Ini bukan sahaja khusus dalam bidang sains tetapi juga diamalkan dan meliputi ilmu-ilmu kemanusiaan dan sains sosial. Setiap bidang ilmu disusun dengan metodologi dan tata caranya sendiri, dan kaedah untuk menerbitkan dan menaskhahkan ilmu turut digariskan dengan begitu komprehensif.

Dalam tradisi keilmuan Barat, pendapat guru-guru agung dalam bidang kepakaran masing-masing dipegang dan dihormati. Tetapi, guru-guru agung ini manusia dan setiap ahli akademik dalam bidang tersebut juga adalah manusia. Mereka boleh dibantah tetapi dengan syarat menggunakan eksperimentasi dan metodologi yang digariskan dalam disiplin ilmu tersebut.

Namun, sebelum Barat mencipta kaedah-kaedah tersebut, Islam terlebih dahulu menyusun tatacara ini terutamanya dalam aspek penerbitan hukum-hakam agama.

Golongan ini amat memuja pemikiran dan tamadun Barat, namun itu sekadar propaganda. Mereka tidak mengikut kaedah ilmiah seperti yang digariskan oleh ilmuwan Barat dalam disiplin ilmu Islam. Sebagai contoh, terdapat tulisan yang memperlekehkan maksud sebuah hadis yang diterbitkan untuk pembacaan khalayak awam.

Kecurangan ilmu dibuat dengan tidak menyatakan sumber hadis berkenaan kerana jikalau disebutkan riwayat hadis tersebut, sama ada daripada Tirmizi, Ibnu Majah dan sebagainya, maka tentulah tulisan itu bakal dibakulsampahkan oleh khalayak pembaca.

Tidak dinafikan hadis tersebut barangkali mempunyai jalur periwayatan yang lemah (tetapi disahihkan oleh jalur periwayatan yang lain). Namun atas niat untuk mengejek pendapat yang berpegang kepada hadis tersebut, disiplin dalam menerbitkan hukum Islam tidak diendahkan dan dikhianati.

Malang sekali, golongan popularis agama ini menyembunyikan pengkhianatan mereka terhadap disiplin ilmu Islam dengan menggunakan kaedah character assasination dan perlabelan. Istilah-istilah seperti jumud, literalist dan zahiri digunakan untuk mematahkan semangat ilmuwan Islam yang jujur, istiqamah dan berdisiplin sebagai ahli akademik yang teguh berpegang kepada al-Quran dan Sunnah tanpa mempedulikan glamor dan populariti.

Kaedah-kaedah popularis ini mungkin sesuai dengan masyarakat yang tidak memahami kepentingan berpegang kepada Sunnah dan pendapat salafussoleh, tetapi tidak kepada masyarakat yang menghargai dan mencintai disiplin keilmuan apatah lagi ilmu-ilmu Islam.

Hubungan Dengan Pemerintah

Hubungan golongan popularis agama ini dengan pemerintah adalah pelik, tidak konsisten dan kadang kala melucukan. Di hadapan masyarakat, mereka cuba mempotretkan diri seperti Hang Jebat ataupun Hang Nadim. Tetapi, hakikatnya mereka bagaikan menurut ‘resam anjing’ – apabila ditepuk-tepuk, diberi makan dan dibawa berjalan-jalan, maka diam dan manjalah haiwan itu dengan tuannya.

Sudah tentu, tuannya atau pemimpin juga ada melakukan kesilapan dan khilaf namun, popularis agama boleh menutup mata dan menyembunyikannya di bawah karpet untuk kepentingan duniawi. Sekonyong-konyong hilanglah taring, gigi dan kuku mereka.

Dalam hal begini, tentu sekali kita tidak boleh menyalahkan pemimpin berkenaan kerana begitulah sepatutnya sikap golongan umara iaitu menghargai dan meletakkan kaum ulama di peringkat yang tinggi. Tetapi, peluang popularis untuk menjalankan amar makruf nahi mungkar seperti yang kononnya mereka uar-uarkan kepada umum sebenarnya dipersia-siakan.

Dari segi lain mereka mempraktikkan double standard kepada pemimpin atau pemerintah yang mereka tidak mempunyai saham dan kepentingan. Golongan popularis ini tidak akan membuang masa, menggigit, menokak serta membaham pemerintah yang tidak “membayar wang perlindungan” kepada mereka.

Setiap isu yang boleh menyusahkan pemerintah terutama yang tidak pandai membodek golongan popularis ini akan diulas dan disebarkan atas slogan demokrasi dan suara rakyat walaupun isu-isu itu hanyalah khabar-khabar angin.

Untuk mencapai agenda mereka ini, pendapat minoriti dan lemah diambil dan digahkan, manakala pendapat yang kuat dan sahih dilemahkan dan diperlekehkan. Mereka tidak mencari dalil yang berpaksikan agama, kata-kata tokoh dan pemimpin Barat pula dijadikan hadis yang baru untuk mengabsahkan hujah dan tindakan mereka.

Dengan mengikut resam anjing inilah, mereka menonjolkan diri sebagai ulama rakyat supaya dipuja dan disanjung oleh masyarakat yang tidak memahami permainan mereka.

Tidak dinafikan golongan popularis agama ini turut mempunyai jasa terhadap perkembangan keilmuan Islam di Malaysia terutamanya yang tidak berkaitan dengan hal-ehwal politik dan muamalat. Tetapi, falsafah keilmuan mereka bercanggah dengan tradisi ilmu, tidak kira yang berasal daripada warisan Barat apatah lagi warisan Islam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121002/re_07/Membedah-minda-golongan-popularis-agama#ixzz28mNukRhb
© Utusan Melayu (M) Bhd

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: